Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, mengesahkan bahawa Osama bin Laden telah tewas di Pakistan. Namun, Obama tidak secara terperinci mengungkapkan bagaimana pemimpin jaringan pengganas al-Qaeda itu dibunuh, selain hanya menyatakan bahawa dia dibunuh dalam satu tembak menembak dengan pasukan khas AS, yang dilancarkan minggu lalu.
Kalangan media massa AS, dengan menggunakan sumber-sumber tanpa nama di perisikan dan kerajaan, memberi gambaran bagaimana Osama boleh dikesan dan tewas setelah menjadi orang buruan dalam sepuluh tahun terakhir.
Menurut stesen berita MSNBC, semua itu bermula dari nama seorang pengikut Osama. Sumber di pejabat presiden AS (Rumah Putih) mendedahkan bahawa perburuan atas Osama sudah bermula sejak Tragedi 11 September 2001 (9 / 11), peristiwa yang mengangkat nama Osama dan rangkaian al-Qaeda ke sorotan dunia.
Perburuan itu akhirnya tamat pada akhir tahun lalu, ketika pasukan perisikan mengesan suatu kem di Pakistan.
"Dari awal kami mengesan Osama sebagai ancaman, AS kemudian mengumpul maklumat mengenai orang-orang di lingkaran Osama, termasuk para pembantu peribadinya," kata seorang pegawai kanan Rumah Putih, yang memberi maklumat latar belakang kepada kalangan wartawan, yang dikutip MSNBC.
Pada 2007, perisikan AS akhirnya mendapat nama sebenar pembantu tersebut. Dua tahun kemudian, seperti yang diutarakan MSNBC , pasukan perisikan AS menandai sejumlah wilayah di Pakistan, tempat operasi si pembantu dan saudara kandungnya. "Mereka sangat berhati-hati, ini yang membuat kami yakin bahawa kami sudah berada di jalur yang benar," ujar sumber itu.
Pada Ogos 2010, perisikan AS mendapati "rumah mereka di Abbottabad," suatu kawasan yang terpencil. Menurut stesen berita ABC News, Abbottabad adalah kota berpenduduk 90.000 orang, yang terletak di Lembah Orash. Jaraknya sekitar 64 km dari sebelah utara ibukota Pakistan, Islamabad.
Operasi memburu Osama berjalan lancar, kecuali ketika terjadi masalah mekanikal dengan sebuah helikopter AS. Menurut sumber untuk stesen berita ABC News, pasukan khas Tentera Laut AS, Navy Seals, terlibat dalam operasi memburu Osama. Dua helikopter AS bergerak ke kompleks itu pada 1 Mei 2011, sekitar pukul 1.30 hingga 2 waktu setempat.
Sebanyak 20-25 pasukan khas Navy Seals itu di bawah kawalan Komando Bersama Operasi Khas, bekerjasama dengan agen perisikan CIA, mereka menyerbu masuk kem itu. Tembak-menembak antara pasukan AS dan Osama serta para pengikutnya tidak dapat dielakkan.
"Operasi ini dilakukan pasukan kecil yang dirancang untuk meminimakan kerosakan. Pasukan kami sudah berada di sekitar kem itu selama tidak sampai 40 minit dan tidak menjumpai pihak berkuasa tempatan, "tutur sumber itu.
Osama kemungkinan turut serta dalam tembak-menembak itu. "Osama bin Laden terbunuh dalam tembak-menembak ketika pasukan kami masuk ke kem, "demikian ungkap pegawai AS itu.
Apakah Osama sempat menembak, tanya wartawan. "Dia melakukan tentangan ke atas pasukan kami dan dia tewas." demikian keterangan pegawai itu. Dia sekurang-kurangnya mengalami satu luka tembakan di bahagian kepala. Tidak disebutkan, berapa luka tembakan yang membunuh Osama bin Laden.
Dalam pertempuran itu, empat lelaki mati. Mereka adalah Osama, anaknya, dan dua pembantu mereka. Seorang perempuan juga mati, dipercayai dijadikan perisai manusia. Beberapa perempuan yang lain cedera. Namun, nama-nama mereka tidak didedahkan.
Pasukan khas itu lalu membawa mayat Osama untuk pemeriksaan dan kemudian yakin bahawa itu adalah ketua Al-Qaeda yang selama ini menjadi buruan AS dan sekutu-sekutunya.