Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Aziz menegaskan Mohamad Sabu sememangnya merupakan pemimpin PAS yang dibenci oleh Umno kerana memiliki kehebatan tersendiri dan memberikan keuntungan besar kepada PAS.
Nik Aziz berkata demikian mengulas media UMNO, Utusan yang sibuk bercakap PAS mengetepikan kepimpinan Ulama dengan menaikkan Mohammad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS yang baru dalam ceramah perdana di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad di Taman Melewar, di sini, malam tadi.
"Mat Sabu sejak keluar dari ITM, terus menginfaqkan dirinya dengan jemaah, pernah beberapa kali ditahan bawah ISA. Kelebihan beliau yang bersifat bersahaja mampu meraih non muslim bermesra dengannya," ujarnya yakin mencadangkan Mohammad Sabu memegang portfolio berkait langusng dengan golongan non muslim.
Nik Aziz dalam amanat akhirnya itu yakin UMNO tidak akan nyenyak tidur dengan naiknya Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS.
Beliau sebelum itu mengingatkan semua manusia di muka bumi ini adalah menumpang di bumi Allah.
"Kerana menumpanglah, manusia perlu patuh dan taat kepada suruhan tuan punya bumi ini." Beliau menegaskan tanpa apa yang diberi oleh pencipta, manusia tidak boleh hidup kerana Allahlah yang memberikan segalanya.
"Islam yang mengajar manusia mengenal diri dan segala yang berlaku, hidup dan mati adalah atas ketetapan Allah."