"BERSEDIAKAH Tuan jelaskan kepada kami berapa besarkah risiko yang harus ditanggung oleh kesombongan?" pinta seorang murid kepada Abu Qubaisy dengan penuh minat.
Ketika membuka majlis ilmunya petang itu, Tuan Guru yang luas ilmunya dan disegani para muridnya tersebut memang berbicara panjang tentang sifat sombong dan keburukan yang dikandungnya. Dengan sungguh-sungguh beliau berpesan agar para muridnya mengikis habis kesombongan dari dalam hati mereka masing-masing.
"Di dalam kitab 'Nahjul Balaghah,' Sayyidina Ali Ibn Abi Thalib menyatakan bahawa iblis adalah hamba Allah yang sangat bersungguh-sungguh dalam beribadat. Dia menyembah Allah swt selama 6,000 tahun. Memang tidak ada penjelasan apakah 6,000 tahun itu menurut ukuran perhitungan waktu di dunia atau perhitungan waktu di akhirat yang jangka waktunya jauh lebih panjang daripada jangka waktu dunia. Mengingat iblis, sebagaimana juga malaikat, termasuk golongan makhluk langit, tidak mustahil ukuran waktu 6,000 tahun berdasarkan perhitungan waktu akhirat.
Andai kata yang digunakan itu adalah rentang waktu dunia pun, 6,000 tahun bukanlah masa yang pendek. Namun semua itu menjadi sia-sia. Terkikis habis oleh satu kesombongan yang diperbuat iblis," jelas Abu Qubaisy dengan panjang lebar.
"Kesombongan macam apa dan berapa banyakkah dilakukan oleh iblis itu?" tanya seorang murid yang kurang sabar.
"Hanya satu kali. Iaitu ketika dia menolak perintah Allah swt untuk bersujud kepada Adam. Dengan sombong dia mengatakan dirinya lebih mulia daripada Adam yang diciptakan daripada tanah, padahal dia diciptakan daripada api," jawab Abu Qubaisy yang dibalas oleh sebahagian muridnya dengan anggukan kepala.
"Lalu mengapa Allah swt merasa perlu mengingatkan manusia bahawa iblis adalah musuh nyata?" tanya murid yang lainnya lagi.
"Kerana ketika laknat dijatuhkan Allah swt kepada iblis dia bukan memohon ampun, tapi kembali dengan angkuh; dia justeru menyatakan akan berusaha menyesatkan manusia sepanjang masa," ujar Tuan Guru itu seraya mengakhiri kuliahnya.
Antara projek pungguk rindu bulan & tilapia.. M'sia pro HAMAS?
Sehari yang lalu