Sekumpulan seniman dan budayawan mendakwa tindakan polis menyiasat Datuk A Samad Said ekoran sokongan terbukanya pada perhimpunan BERSIH 9 Julai ini adalah satu penghinaan terhadap sasterawan negara itu.Menamakan diri mereka sebagai Seniman Paksi Rakyat (PAKSI), mereka menyifatkan tindakan polis menyiasat A Samad atas akta hasutan dan akta polis sebagai tidak wajar dan menimbulkan curiga terhadap "manusia sebaik A Samad".
"Maka PAKSI berharap kepada pihak yang berkuasa agar tidak menggunakan kuasa yang ada secara sewenang-wenangnya dalam apa pun keadaan," kata presidennya Che Shamsuddin Othman.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Dinsman malah meminta masyarakat umum membaca sendiri puisi A Samad yang dikatakan boleh menghasut dan mengganggu keselamatan itu.

"Saya kesal, mereka membiarkan Pak Samad begitu sahaja," katanya yang juga dramatis terkenal.
Bagi A Samad sendiri, beliau menyifatkan golongan itu sebagai "menjaga periuk nasi sendiri."
Manakala setiausaha PAKSI, Hasni Abas pula membidas tindakan polis yang didakwanya bertanyakan jumlah bayaran yang diterima A Samad ketika membacakan puisi di majlis pelancaran BERSIH baru-baru ini.
"Mereka tanya berapa Pak Samad dibayar kerana membaca sajak. Ini satu penghinaan," katanya.