A.Samad Said: Puisi sudah jadi 'senjata'

Saya fikir puisi sekarang sudah diterima sebagai
alat berkesan sebagai senjata. Dulu puisi ini untuk
menghibur-hiburkan saja, sekarang rupanya puisi
sudah mendapat perhatian yang amat luar biasa
Sasterawan negara Datuk A Samad Said berkata, siasatan polis yang dijalankan ke atasnya hari ini menunjukkan puisi telahpun menjadi "satu senjata" dan bukan lagi satu hiburan semata-mata.
Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan rasa sedih ke atas tindakan polis yang menjalankan siasatan ke atasnya di bawah Akta Hasutan, sedangkan puisinya itu mengandung niat "murni."
"Apa yang saya lakukan ialah merakamkan satu peristiwa di mana saya fikir, untuk memperbaiki suasana, bukan untuk memperburukkan suasana.
"Dalam puisi saya itu memang saya katakan kita sebenarnya perlu mempersuci demokrasi bukan memperkeruhkan atau mencemarinya. "Dalam puisi itu adalah saranan-saranan yang saya fikir amat suci yang sepatutnya dihargai bukan dicurigai," katanya lagi ketika mengulas siasatan bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan itu.
Beliau turut disiasat mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis berhubung pengucapan puisinya di majlis pelancaran BERSIH 2.0 pada 19 Jun lalu.
Tanpa menunjukkan rasa gentar, A Samad turut menepis pandangan bahawa tindakan pihak polis itu akan terus menekan golongan karyawan daripada menyatakan pandangan mereka mengenai perkembangan semasa.
"Barangkali (polis) memberi amaran, tapi itu kalau seorang sasterawan, ini sememangnya lebih mendorongnya, menaikkan semangatnya oleh kerana mereka mulai tahu kesusasteraan mempunyai kuasa juga.
"Saya fikir puisi sekarang sudah diterima sebagai alat berkesan sebagai senjata. Dulu puisi ini untuk menghibur-hiburkan saja, sekarang rupanya puisi sudah mendapat perhatian yang amat luar biasa," katanya lagi ketika ditemui selepas disiasat lebih sejam hari ini di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi.
Siasatan hari ini merupakan tindakan kedua ke atas A Samad selepas tindakan sama dijalankan ke atasnya pada Mac 2009 berhubung dasar pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
Terdahulu ketika dihubungi Malaysiakini, A Samad berkata ucapan berkenaan turut dimuatkan di laman blog peribadinya – Hujan Pagi
Ucapan berkenaan antara lainnya menyentuh mengenai gambaran media arus perdana ke atas kumpulan BERSIH 2.0.
"Kita maklum bahawa gergasi media arus perdana kini sedang ikut garang menghempit kita dalam arus peristiwa yang semakin durjana. Kita sedang berlawan dengan keangkuhan yang pejal.
"Oleh media arus perdana ini, kita sewenangnya digambarkan sebagai kumpulan 'siasah' yang sangat bercita-cita buruk.
"Lebih buruk, kita digambarkan sebagai kelompok yang sengaja ingin menggelorakan masyarakat seburuk hajat," ucapan itu dipetik.



Unggun Bersih
Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.
Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!
Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.
Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.
24—25, 6.11. A. SAMAD SAID 
dipetik dari Hujan Pagi

sitemap / senarai lengkap daftar isi KongsiCerita.com




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsi Cerita Kongsi Cerita
solihin zubir
Great 1:1 Traffic Exchange
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More