Bersih 2.0: Peniaga Akan Untung - Mat Sabu

PAS menyifatkan Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 ) yang mahu diadakan pada 9 Julai ini akan memberi manfaat kepada Pakatan Rakyat (PR) kerana mereka mendapat sokongan yang besar daripada rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu berkata, suasana Perhimpunan Bersih 2.0 tidak sama dengan perhimpunan Bersih pada 2007.

"Suasananya sudah berbeza, PR telah mengerakkan jentera Bersih di negeri-negeri ditadbir oleh mereka sejak awal lagi.

"Media baru seperti blog, portal berita alternatif banyak membantu mempromosikan Perhimpunan Bersih kali ini. Jika dulu ribuan yang menyertai demonstrasi Bersih 1, kita jangka jumlahnya lebih besar pada Bersih 2.0," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Jumaat.

Beliau berkata, pimpinan PR juga mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tanpa mengira kaum.


"Matlamat kita adalah mahukan satu sistem pilihan raya yang bersih lagi adil.


"Masalahnya sistem ini (pilihan raya yang adil dan bersih) tidak berjalan seperti yang dilaung-laungkan. Oleh itu perarakan ini penting kerana kita yakin pilihan raya umum (PRU) akan diadakan bila-bila masa dari sekarang," katanya.


Mohamad berkata, Perhimpunan Bersih pada 2007 merupakan indikator yang jelas kepada kerajaan kerana keputusan PRU-12 telah menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional (BN) di Parlimen dan PR telah menguasai lima negeri.


"Kita melihat peluang kita kali ini lebih baik. Bukan sahaja NGO malah rakyat di pelbagai kaum dijangka akan menyertai Perhimpunan Bersih 2.0.


"Cuma, kita mahu pasukan keselamatan khususnya polis perlu bersikap adil dan menjaga keselamatan supaya perarakan pada 9 Julai berjalan lancar. Polis juga tidak boleh dilihat menjaga kepentingan pihak tertentu dalam hal ini," katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa Perhimpunan Bersih 2.0 akan berlangsung dalam keadaan aman dengan menyeru pihak polis memberi kebenaran kepada mereka untuk menyampaikan memorandum Bersih kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara nanti.


"Ribuan ahli PAS akan turun dan menyertai Bersih. Bukan parti politik sahaja malah rakyat pelbagai kaum juga akan turut serta dalam perhimpunan terbesar dalam sejarah negara kita," katanya.


Jelasnya, Perhimpunan Bersih yang akan diadakan minggu depan akan turut memberi keuntungan kepada peniaga di Kuala Lumpur.


"Mereka (peniaga) akan dapat keuntugan berlipat ganda bila orang ramai yang menyertai Bersih beli barang dan makanan atau minuman di kedai mereka.


"Ini satu proses menjana ekonomi peniaga di Kuala Lumpur. Hotel-hotel akan penuh, jadi siapa yang untung? Sudah pasti pihak peniaga. Jika mereka tak nak untung mereka boleh berniaga di Ulu Tembeling (Taman Negara)," ujarnya.


Beliau sekali lagi menegaskan bahawa demonstrasi jalanan bukan perkara baru di Kuala Lumpur dan ia dilakukan sebagai tanda protes terhadap perkara tidak betul.

sitemap / senarai lengkap daftar isi KongsiCerita.com




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsi Cerita Kongsi Cerita
solihin zubir
Great 1:1 Traffic Exchange
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More