Pulau Tioman Diserang Ratusan Keluang

Rata-rata penduduk dan peniaga gerai makan di Kampung Tekek, di sini, terpaksa berhadapan dengan bunyi bising keluang yang menjadikan kawasan atas pokok palma, mentiga dan nangka sebagai habitat haiwan itu sejak lebih setahun lalu.

Sebelum ini, haiwan mamalia dalam keluarga kelawar itu dipercayai mendiami kawasan sekitar Kampung Air Batang, berhampiran Kampung Tekek sebelum berpindah ke kawasan sekarang selepas kebanyakan pokok ditebang bagi projek pembangunan.

Peniaga gerai makan meluahkan rasa bimbang dengan keadaan itu berikutan gerai makan mereka tidak dikunjungi pelanggan, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Bagaimanapun, terdapat sesetengah pelancong luar khususnya warga asing begitu teruja dengan kehadiran haiwan bersayap itu dan menyifatkan ia sebagai tarikan baru di Pulau Tioman.

Perniagaan terjejas

Seorang penduduk, Wan Azura Abdul Panar, 36, berkata, dia terpaksa berpindah ke tapak baru untuk berniaga kerana tapak lama di bawah pokok nangka dan palma berdekatan rumahnya menjadi ‘sarang’ haiwan berkenaan.

Wan Azura berkata, kehadiran ratusan keluang yang bergayut setiap masa di pokok menimbulkan kebimbangan, tambahan haiwan itu memakan buah-buahan dari pokok yang ditanam.

“Bunyi bising haiwan ini seawal jam 3 pagi mengganggu tidur kami dan menyebabkan suasana di pusat pelancongan dunia ini riuh rendah pada waktu malam,” katanya kepada Sinar Harian.

Wan Azura berkata, hasil dua pokok nangka yang ditanam di depan rumah mertuanya tidak lagi boleh dimakan akibat dirosakkan haiwan terbabit sedangkan buah itu boleh dijual kepada penduduk sekitar.

“Selain menjual juadah makanan kepada pelancong luar, saya turut menjual buah nangka kepada penduduk setempat, namun buah nangka itu tidak lagi boleh dimakan akibat dirosakkan keluang,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Nurul Fariha Mat Badar, 19, berkata, dia juga menerima rungutan daripada sesetengah pelanggannya yang tidak selesa dengan bunyi bising dan najis haiwan itu yang diterbangkan angin hingga sampai ke gerainya.

“Penduduk di sini, kebanyakannya kurang selesa dengan haiwan ini, namun tidak kepada pelancong asing.

“Bagaimanapun saya perlu mengekalkan aspek kebersihan di gerai saya bagi mengekalkan pelanggan,” katanya.

Menurutnya, gerainya terletak berhampiran pokok palma yang dihinggapi beratus-ratus keluang yang membuat bising pada setiap masa hingga menyebabkan kanak-kanak dan bayi di kampung itu sukar tidur pada waktu malam.

“Kami sudah tidak tahan dengan keadaan ini dan berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan kemelut kami ini dengan segera,” katanya.



sumber : Ratusan keluang rimaskan penduduk 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsi Cerita Kongsi Cerita
solihin zubir
Great 1:1 Traffic Exchange
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More