Assalamualaikum dan salam sejahtera. Aku bukanlah penyanjung Raja, tapi mempunyai Raja yang betul - betul berjiwa rakyat membuatkan aku bangga menjadi rakyat Kelantan. Ciri peribadi murni Sultan Kelantan yang baru, Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra yang begitu prihatin terhadap rakyat dan mempunyai ilmu agama tinggi adalah selari dengan kehendak masyarakat Kelantan. Baginda berpakaian macam rakyat biasa.. sehingga tak dapat dikenali bahawa baginda ialah Sultan Mohamad Ke V. Bukan itu sahaja, baginda juga seorang yang merendah diri dan mengutamakan ahli agama sepertimana yang ditunjukkan oleh baginda ketika dalam majlis bersama Menteri Besar Kelantan. Baginda juga tanpa segan silu, tanpa berasa malu…memandu kenderaan sendiri tanpa ada pengawal peribadi dan pemandu peribadi.
(buat Sultan Kelantan Muhammad Faris Petra)
raja dimulia kerna takwanya,
raja disayang kerna dia berjuang,
raja diangkat kerna Tuhan memberkat
raja dicinta kerna budi bahasanya,
raja dihormat kerna kasihkan rakyat
raja dicerca kerna tamakkan harta,
raja dimarah kerna dia bermewah
raja dilupa kerna tinggalkan agama,
pada penampilan dalam keramaian
perasaan tertawan kepada sang sultan
pada bicara yang sederhana,
pada gaya yang bersahaja,
jiwa tertarik pada raja,
moga nyata, dia payung rakyat jelata..
inilah nasihat raja dan rakyat…
raja dimulia bukan kerna singgahsana
raja disayang bukan kerna paluan gendang
raja diangkat bukan kerna kalimat 'daulat'
raja dicinta bukan kerna kuasa
raja dihormat bukan kerna pangkat
apabila raja itu zuhud,
namanya selalu disebut
apabila raja takutkan Allah,
sekelian rakyat jantung diserah
apabila raja sangat sederhana,
jiwa jelata penuh bangga,
apabila raja kuat agama,
dengan ikhlas rakyat berdoa..
tuanku raja yang masih muda,
namun ada teladan untuk semua,
dalam persarungan penuh kerendahan,
dalam kehidupan penuh kerakyatan,
sayang rakyat penuh melimpah
kepada raja kasih tertumpah
Dr MAZA,
160211
Penulis adalah bekas mufti Perlis