Makan
menggunakan tangan adalah antara sunnah Nabi Muhammad s.a.w yang telah lama
ditinggalkan oleh umat baginda pada hari ini. Tangan adalah antara alat utama
untuk mengambil dan menyuap makanan ke dalam mulut. Jika ada benda yang
membahayakan, tanganlah yang akan mengesannya. Umpamanya, duri, tulang ikan
atau tulang ayam.
Soal kekotoran pada
tangan tidak akan timbul kerana Islam menyarankan agar sebelum makan, kita
disunatkan terlebih dahulu mencuci tangan dan hanya tangan kanan sahaja yang
diajarkan untuk menyentuh makanan. Dikatakan, antara kehebatan hikmah
menggunakan tangan adalah jari-jemari manusia itu mengandungi sejenis kimia
yang akan memudahkan penghadaman makanan dalam perut. Ini terbukti apabila
orang tua-tua dahulu melarang kita menyentuh makanan yang mahu disimpan dengan
tangan kerana ia boleh menjadi basi. Malah, kita disunatkan menjilat jari-jemari
untuk mendapatkan keberkatan dan zat penghadaman yang baik pada akhir waktu
makan. Inilah antara sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
Dalam keadaan perut yang lapar pula, kita
digalakkan mulakan makan atau minum dengan sesuatu yang manis. Kenapa? Perut
yang terlalu lapar dan kosong akan mengeluarkan sejenis asid yang boleh
membahayakan perut. Makanan manis berupaya menghilangkan asid itu. Itulah
sebabnya mengapa Nabi s.a.w memulakan berbuka puasa dengan buah tamar kerana
buah tamar terkenal dengan kandungan glukosanya yang sangat tinggi.